Tuesday, May 06, 2008

Stupid Idiot UMNO 30% Bumiputra Equity Requirement

Bumiputera Berpeluang Miliki 30 Peratus Ekuiti Dalam 263 Syarikat Asing, Kata Noh

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Syarikat Bumiputera yang berkelayakan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan telekomunikasi berpeluang memiliki 30 peratus ekuiti dalam 263 syarikat asing yang beroperasi di negara ini melalui Program Pemadanan Perniagaan yang akan dilaksanakan Jun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata program itu akan dilaksanakan oleh kementeriannya (MECD) dengan kerja sama Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan Unit Perancangan ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

MECD telah mengenal pasti syarikat asing berkenaan, katanya.

Ekuiti 30 peratus itu dikhaskan untuk Bumiputera semasa melabur di negara ini, yang masih belum lagi diisi oleh Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan MECD yang pertama dihadirinya sejak menjadi Menteri di kementerian itu di sini, Selasa.

Turut hadir sama adalah Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Musa Muhamad dan Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Mohd Hashim Abdullah.

FIC telah mensyaratkan supaya syarikat asing yang melabur di negara ini memperuntukkan 30 peratus ekuiti kepada syarikat Bumiputera.

Bagaimanapun, Noh berkata kerajaan memberi pengecualian antara dua hingga tiga tahun bagi pelabur berkenaan untuk memenuhi syarat itu untuk membolehkan mereka mendapat rakan kongsi yang sesuai dan berkelayakan.

Untuk mencari syarikat Bumiputera yang layak, katanya bukan satu perkara yang mudah dan dalam masa yang sama "kita perlukan pelabur asing, jadi kita memberi kelonggaran."

"Kita akan berusaha untuk menyebarkan maklumat ini kepada Bumiputera untuk membeli ekuiti berkenaan. Kita ada senarai syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan termasuk ICT, telekomunikasi dan perkilangan," katanya.

Mengenai kriteria yang diperlukan, Noh berkata, selain perlu mempunyai kelayakan mengikut bidang dan kepakaran masing-masing, syarikat Bumiputera itu perlu mempunyai kesesuaian, kebolehan dan peranan yang boleh dimainkan dan bukan setakat menjadi pemegang ekuiti sahaja.

Noh berkata syarikat asing ini bertanggungjawab kepada FIC/EPU dan MECD merupakan agen pelaksana bagi program pemadanan ini.

-- BERNAMA

No comments: